Kenapa agaknya kita susah sangat nak berdamai?

Tentang Akur, oleh Syakir Azhari.

Pernah tak kita terfikir kenapa susah sangat untuk berdamai dengan sebuah ketentuan ketika apa yang diinginkan tidak ditakdirkan untuk kita?

Kita mungkin boleh berusaha setinggi langit, tetapi walau sebanyak mana pun kita merancang dan berharap, ada sebilangan hal yang tetap berada diluar kawalan kita. Tadbir manusiawi tidak akan mampu melangkahi takdir ilahi.

Memilih untuk menjadi akur, adalah kunci untuk kita melepaskan beban emosi dan mula hidup dengan hati yang lebih tenang. Akur adalah hari di mana kita meruntuhkan kata-kata “sepatutnya”.

Bagaimana untuk kita berhenti berkalau-kalau dan keluar dari daerah masa lalu yang kita sendiri pun tahu, yang pergi itu pergi.

Bagaimana untuk menukar ‘tahu’ menjadi sedar dan akur sehingga kita berjaya melewati masa lalu tanpa lagi ada rasa sebu di dada?

Nouman Ali Khan ketika membahaskan konsep akur dalam surah Yasin menekankan aspek penerimaan bahawa sebagai manusia, akan ada banyak hal-hal yang berada di luar kawalan dan capaian kita. Beliau menyentuh tentang bagaimana Allah mengingatkan kita semua bahawa setiap hal yang berlaku adalah di bawah kehendak-Nya.

Hamka juga menerusi Tafsir Al-Azhar mengingatkan bahawa keakuran bukan bermaksud menyerah kalah, tetapi pengakuan bahawa ada hal-hal yang perlu kita terima ia tidak berjalan sesuai dengan keinginan dan harapan kita.

Dalam psikologi, menjadi akur merujuk kepada sebuah penerimaan terhadap pengalaman yang menyakitkan tanpa kita cuba untuk mengubah apa yang telah pun berlaku dan berlalu.

Memilih akur akan membantu kita untuk menerima realiti yang telah terjadi. Dalam Acceptance and Commitment Therapy (ACT), penerimaan adalah langkah pertama yang akan membantu individu untuk keluar dari konflik dalaman dan membolehkan seseorang fokus kepada apa yang boleh dilakukan sekarang tanpa dihantui dengan masa lalu.

Dalam Surah Yasin, Allah mengingatkan kita bahawa Dia yang mencipta segala sesuatu dan hanya dengan kehendak-Nya sesuatu itu boleh berlaku. Ini adalah mesej jelas bahawa kita masih perlu berusaha, tetapi pada masa yang sama, kita perlu terima bahwa hasilnya daripada apa yang kita usahakan adalah hak mutlak Allah.

Memahami konsep mudah ini, bukan sahaja mendidik kita untuk terus berusaha tetapi juga menerima kegagalan dengan hati yang tenang. Sama ada berjaya atau gagal, keakuran menjadikan kita lebih teguh menanggapi sebuah kekecewaan.

Tidak ada jalan pintas kepada sebuah keakuran, ia adalah sebuah proses yang panjang. Mengambil waktu yang mungkin sedikit lama untuk kita akhirnya sudi bercakap dengan diri sendiri, tentang semua hal yang tersimpan sebelum merelakan.

Kita memahami bahawa tidak selalu dalam hidup, kita akan ‘in-control’ kepada semua benda. Ada hal yang kita rancang, tidak berjalan sesuai dengan keinginan dan harapan.

Keakuran bukanlah kelemahan, ia adalah kekuatan untuk bergerak maju dengan tenang. Pesan Nouman Ali Khan, apabila kita akur pada ketentuan Tuhan, kita sebenarnya membuka pintu untuk ketenangan yang lebih besar.

Mulakan dengan menerima kesilapan dan kelemahan diri, dan belajar untuk memaafkan. Dengan ini, kita dapat hidup dengan lebih damai, tanpa dibebani oleh penyesalan yang tidak berkesudahan.

Tiada siapa pun cakap hidup ini mudah, kita akan melewati banyak siri-siri kesakitan, kepedihan, dan keperitan. Namun memilih akur akan membuatkan kita akhirnya mampu menggugurkan kata “sepatutnya”. Keluar dengan senyum, tawa, dan gembira dengan apa yang ada di sisi.

Pada akhirnya, akur adalah sebuah proses panjang, tiada jalan pintas, dan tidak mengapa.

Scroll to Top