Zikra – sebuah prolog, oleh Imran Zaki.
Terima kasih atas sokongan dan kesudian untuk bersama dalam komuniti Zikra. Sebuah ruang nyaman untuk kita sama-sama menekuni makna-makna al-Quran.
Sejak hari pertama Zikra diumumkan, tidak putus-putus kata-kata yang baik tiba dalam ruangan kami. Baik kepada saya secara peribadi, juga kepada seluruh tim yang bertungkus-lumus dalam membangunkan platform ini.
Sekembalinya saya ke Malaysia setelah sekian lama menetap di Turki, saya banyak mengambil masa berbual dengan Hafizul Faiz. Tiada topik yang tetap, kami bergerak dengan meninjau dan singgah dalam banyak hal. Hampir keseluruhan waktu, kalau tidak berbual tentang hal-hal random seperti langit atau sastera, kami banyak berbual tentang makna-makna al-Quran. Tetapi selalunya, saya sendirilah yang lebih suka mendengar.
Di waktu yang lain, saya mencuri-curi masa guru saya, Ustaz Syaari di antara masa kuliahnya di luar atau waktu makan tengahari. Bertanya pendapat dan maksud ayat-ayat tertentu yang saya ambil masa untuk memahaminya.
Saya mahu selalu menjadi pendengar dan pelajar. Yang tekun dan mencatat semuanya. Lalu mengambil ruang sendiri menyelongkar kitab-kitab dan merenungi sendiri.
Penubuhan Zikra, bukanlah hanya platform untuk kita memahami al-Quran. Kadang-kadang yang kita kurang bukannya ilmu atau informasi. Di zaman semuanya boleh ditemui di dalam internet, ia menjadikan kita banyak tahu. Tetapi ia selalu terpecah dalam fragmen yang tidak seimbang, lalu menyebabkan ilmu yang banyak menjadikan lebih menimbulkan kekeliruan daripada membangunkan.
Zikra – berakar daripada Zikr – kalimah yang kerap disebutkan di dalam al-Quran. Maknanya cukup mendasar, semuanya boleh difahami dalam tema mindfulness; sebuah renungan yang mendalam, juga perasaan syukur dan contented. Sekali gus membantu kita membina peribadi yang cakna dan teliti (self-awareness) serta self-acceptance.
Kita mahu pembacaaan dan kefahaman al-Quran yang membawa diri ke lembah itu, duduk dan bermukim di dalam komuniti yang ada akses dalam hal-hal yang sentiasa mengingatkan untuk kembali kepada al-Quran.
Ia tidak sempurna, tetapi semampu dan sebaik mungkin diusahakan untuk disusun dengan sekemas yang boleh.
Maka, Zikra bukanlah sebuah platform refleksi yang random. Ia dibangunkan dengan berstruktur dan modul tersendiri.
Ada roadmap untuk perjalanan kita. Buat masa ini, tahun pertama sudah siap semuanya. Kita akan fokus kepada spiritual growth yang mengambil kira beberapa unsur penting untuk menjadikan kita hamba yang sangat mindfulness. Setiap unsur ini akan kita renungi melalui surah dan ayat tertentu.
Tahun kedua nanti, kita akan masuk kepada pembangunan karakter pula. Satu-satu kita akan belajar ya.
Jadi, platform Zikra ini ada apa?
Kelas tersusun untuk menekuni makna al-Quran setiap bulan.
Bengkel dan wacana – misalnya bengkel slow-living, menulis jurnal dan pelbagai lagi.
Content berterusan melalui semua ruangan – video, podcast, tulisan.
E-book refleksi al-Quran.
Dalam website nanti pun, selain set video kelas, kita akan ada blog penulisan. Daripada tulisan sederhana kepada tulisan yang bersifat analitikal dan kritikal, contoh; bagaimana sebenarnya memilih bacaan tafsir yang betul dan banyak lagi.
Sekali lagi, terima kasih atas kesudian untuk bersama-sama dalam komuniti ini. Kita belajar dan membangunkan ya. Selamat datang kami ucapkan ke dalam komuniti Zikra. Kita maknai bacaan Quran, hingga menjadi seseorang yang lebih mindful, tenang dan lapang.
Harapan saya kecil; setidak-tidaknya kita boleh termenung ketika membaca al-Quran. Refleksi kita makin dalam. Kefahaman kita makin kemas. Hati kita makin redup. Mula menjadi seronok untuk bangun setiap pagi, untuk belajar banyak hal baru dan merenungi semula apa yang kita lalu melalui al-Quran.
Imran Zaki,
CEO Zikra Sdn Bhd.