Refleksi karakter Firaun oleh Imran Zaki.
Manifestasi emosi kita tersingkap dengan pelbagai cara. Ada yang wajar, ada juga yang tidak wajar. Kita pernah mendengar orang mendera pasangannya atas nama kasih sayang. Tanpa menafikan perasaan sayangnya yang memang wujud, manifestasi yang ditonjolkan itu tetap salah dan sangat bermasalah. Begitu juga dengan ketakutan. Sebahagian orang memanifestasikan ketakutannya dengan memohon pertolongan, merenungi diri sendiri, mendepani ketakutannya tetapi tidak kurang ada juga yang menindas orang lain, menafikan hak serta membuli bagi mengatasi ketakutannya.
Ada orang yang takut akan saingan dalam bisnes, lalu dia menggunakan sihir dan memburukkan nama pesaingnya. Ketakutan itu sesuatu yang normal dan wajar, tetapi respons kepada ketakutan itu, tidak semuanya menggunakan jalan yang telus. Ada orang yang merisaukan kata-kata orang dan prestasi akademiknya, lalu menipu dalam peperiksaan. Ketakutan dalam peperiksaan serta tidak mendapat pencapaian yang dibayangkan ialah sesuatu yang wajar, tetapi menipu itu bukan jalan yang wajar untuk dipilih.
وَنُمَكِّنَ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَنُرِىَ فِرْعَوْنَ وَهَـٰمَـٰنَ وَجُنُودَهُمَا مِنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَحْذَرُونَ ٦
Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman (jeneral) bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu.
(Surah Al-Qasas: 6)
Firaun merupakan antara watak yang cukup kerap disebutkan dalam al-Quran. Allah SWT telah menggambarkan kebimbangan dan ketakutannya dalam banyak hal. Watak ini menjadi watak yang sangat wajar untuk kita perhatikan karakter dan peribadinya. Dia ialah fenomena yang agak besar dan utama dalam al-Quran. Allah SWT mengkritik dan menghinanya pada banyak tempat dalam al-Quran. Fikiran, ucapan, dialog dan tindakannya, kesemua ini mempunyai kaitan yang mendasar dengan ketakutan dan kebimbangannya.
Kita melihatnya sebagai pemerintah tirani yang kuat menindas golongan hamba bani Israel. Kita juga kerap membandingkannya dengan pemerintah dan raja yang mempunyai kedudukan yang besar sepertinya. Namun, merenungi kisah ini, rupanya tidak hanya relevan kepada seseorang yang mempunyai kedudukan yang setaraf sepertinya. Kisah ini harus menjadi perhatian sesiapa sahaja pada setiap kedudukan. Akhirnya, walaupun kita tidak menguasai dan mengawal wilayah sebesar negara, kita juga manusia yang bersosial dalam ruang-ruang berskala kecil dan menguasai hal-hal sekitar. Kita mengawal pejabat, organisasi, keluarga, pasangan, rumah, kelas dan apa- apa sahaja.
Memegang tampuk pemerintahan yang cukup besar tidak menyebabkan seseorang terlepas daripada perasaannya sendiri. Seseorang yang kaya harta belum tentu bebas daripada kebimbangan dirompak walaupun mempunyai pegawai sekuriti dan kamera perakam di mana-mana bahagian rumahnya. Boleh jadi, rompakan itu tidak berlaku secara fizikal, seperti kecurian yang boleh berlaku secara halus melalui akaun banknya.
Firaun dan jeneralnya yang memegang setiap tengkuk manusia di Mesir, juga punya kebimbangan dan ketakutan. Namun, bukankah mereka telah mempunyai kuasa yang utuh? Dia juga mempunyai kekuatan ketenteraan yang ampuh. Bukankah mereka boleh melakukan apa-apa sahaja tanpa dipersoalkan? Apa yang mereka takutkan? Bahkan Allah SWT merakamkan dalam al-Quran gambaran kekuasaan yang dipegang oleh Firaun.
إِنَّ فِرْعَوْنَ عَلَا فِى ٱلْأَرْضِ وَجَعَلَ أَهْلَهَا شِيَعًۭا يَسْتَضْعِفُ طَآئِفَةًۭ مِّنْهُمْ يُذَبِّحُ أَبْنَآءَهُمْ وَيَسْتَحْىِۦ نِسَآءَهُمْ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ مِنَ ٱلْمُفْسِدِينَ ٤
“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas…”
(Surah al-Qasas: 4)
Imamal-Qurtubimentafsirkan(لاََع )kepadaduakefahaman. Pertama, lafaz ini bermaksud Firaun boleh melakukan apa sahaja kezaliman sehingga melampaui batas di bumi Mesir. Kedua, bermaksud ketinggian dan kekuatan kekuasaannya, sehingga menyebabkan semua perkara berada dalam genggamannya. Tidak semua pemerintah yang mempunyai kuasa bebas untuk melakukan apa sahaja. Dalam konsep negara bangsa, kita melihat bahawa pemerintah yang melakukan kesalahan dan melampaui batas masih akan didakwa dan dibicarakan di mahkamah. Mereka tetap akan melalui proses undang-undang.
Bahkan kemunculan lafaz penegasan inna ( إِ َّن ) di awal ayat yang berfungsi untuk menghilangkan sebarang keraguan, menghalang kita untuk berfikir bahawa dia juga berada bawah kuasa undang-undang atau apa-apa keterhadan kuasa seperti dalam konsep demokrasi yang biasa kita lihat di kebanyakan negara.
Dalam ayat yang lain, kita menemukan kata-kata Firaun yang penuh kesombongan apabila dia berucap tentang kuasa yang dimiliki di hadapan kaumnya.
وَنَادَىٰ فِرْعَوْنُ فِى قَوْمِهِۦ قَالَ يَـٰقَوْمِ أَلَيْسَ لِى مُلْكُ مِصْرَ وَهَـٰذِهِ ٱلْأَنْهَـٰرُ تَجْرِى مِن تَحْتِىٓ ۖ أَفَلَا تُبْصِرُونَ ٥١
Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: “Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini – akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawahku? Tidakkah kamu melihatnya?”
(Surah Al-Zukhruf: 51)
Kesombongannya bahkan melampaui batas hingga mengaku dirinya sebagai tuhan. Benar-benar sebuah jenayah besar yang dilakukan, bukan hanya kepada manusia, tetapi sebagai hamba yang lemah kepada Allah SWT.
فَقَالَ أَنَا۠ رَبُّكُمُ ٱلْأَعْلَىٰ ٢٤
Dengan berkata: “Akulah tuhan kamu, yang tertinggi.”
(Surah an-Naziat: 24)
Namun, dalam ketinggian kuasa dan kesombongannya yang luar biasa, dia masih terigau-igau pada malam hari jika mereka yang telah dizalimi dan dibunuh akan bangkit memburu dan menentangnya. Meskipun dia berkuasa, tetapi dia masih paranoid pada setiap masa. Dia ketakutan dan kebimbangan.
Ini mengingatkan kita pada pembulian dan penindasan. Orang yang membuli dan menindas orang lain, secara luaran mereka kelihatan kuat dan teguh, tetapi mereka ada ketakutan yang tersimpan; orang yang mereka tindas mula bangkit melawan dan berdiri kukuh. Mereka tidak boleh menerima jika orang yang mereka tindas kembali bangkit, sebaliknya mereka pula berada pada posisi yang lemah dan memerlukan.
Perasaan sebenar Firaun
وَنُمَكِّنَ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَنُرِىَ فِرْعَوْنَ وَهَـٰمَـٰنَ وَجُنُودَهُمَا مِنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَحْذَرُونَ ٦
Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman (jeneral) bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan daripada golongan yang tertindas itu.
(Surah al-Qasas: 6)
Ini merupakan pendahuluan surah al-Qasas yang menceritakan kisah Nabi Musa A.S dan Firaun. Seakan-akan, prolog daripada Allah SWT bahawa Allah SWT akan memperlihatkan sebuah bangsa yang begitu lemah ketika itu, akhirnya bangkit dan mempunyai kedudukan. Kejadian ini adalah sesuatu yang sangat digeruni Firaun, Haman (jeneral) dan tenteranya bahkan mereka bimbang akan menyaksikannya di depan mata sendiri.
Al-hazar menurut al-Isfahani bermaksud bersikap hati- hati terhadap sesuatu yang ditakuti. Perasaan takut yang dirasai menyebabkan seseorang mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi hal tersebut.
Al-Biqa’ie dalam mentafsirkan ayat ini, mengatakan bahawa penggunaan ( ما كانوا) di sini menunjukkan keseriusan yang besar diambil. Manakala (يحذرون) yang diterjemahkan sebagai ‘mereka bimbangkan dan takutkan’ bermaksud langkah berjaga-jaga yang sentiasa diperbaharui secara berterusan lantaran ketakutan mereka kepada hal-hal yang dijangkakan akan berlaku seperti revolusi bani Israel. Ini bermakna mereka sentiasa mempunyai polisi-polisi dan perancangan-perancangan baharu untuk terus menindas dan melemahkan bani Israel.
Walaupun Firaun menindas mereka dengan sekeras- kerasnya, dia sendiri mempunyai ketakutan sehingga bermimpi buruk. Keadaan ini tidak hanya berlaku kepada Firaun, bahkan jeneral dan tenteranya. Bukan lagi sekadar sebuah mimpi, tetapi juga realiti politik yang logik untuk difahami. Mereka perlu memastikan bani Israel tidak mempunyai jumlah anak muda yang signifikan dan mereka semua perlu dilemahkan kerana anak muda itu ialah pasak bagi sesuatu gerakan.
Dalam babak yang lain, ketika Musa A.S membawa bani Israel keluar dari Mesir, hal ini menimbulkan kemarahan yang amat sangat kepada Firaun. Masakan tidak, bangsa yang diperhamba puluhan tahun, lemah dan tidak berdaya, akhirnya bangkit dan keluar dari negara. Mereka tidak lagi mempedulikan sempadan dan tentera sedangkan sebelum ini mereka terperangkap fizikal dan fikiran.
Sesuatu yang benar-benar memanaskan hati apabila orang yang selama ini dibuli dan ditindas, akhirnya berani keluar membebaskan diri.
وَإِنَّهُمْ لَنَا لَغَآئِظُونَ ٥٥
Dan sesungguhnya mereka melakukan perkara yang menyebabkan kita marah;
وَإِنَّا لَجَمِيعٌ حَـٰذِرُونَ ٥٦
Dan sesungguhnya kita sekalian, sentiasa beringat dan berjaga-jaga.
(Surah al-Syu’ara: 55-56)
Lihatlah lontaran kata-kata firaun kepada tenteranya. Kemarahan kini benar-benar di puncak. Namun, dia tetap mengingatkan tenteranya untuk sentiasa berjaga-jaga lantaran bahaya besar boleh menimpa mereka. Muhammad Hasan Jabal dalam al-Mu’jam al-Isytiqaqi memaknakan hazirun sebagai kumpulan orang-orang yang ketakutan. Hal ini sesuatu yang menarik untuk difikirkan kerana kemampuan Firaun sesuatu yang sukar untuk kita bayangkan jika dibandingkan dengan kumpulan Musa A.S. Tenteranya ramai, senjatanya lengkap, kuasanya teguh. Allah SWT mengekalkan perincian yang cukup halus dalam perancangan rahsia mereka. Di luar kelihatan ampuh, tetapi hakikatnya mereka ketakutan dan kerisauan.
Manifestasi Ketakutan Firaun
إِنَّ فِرْعَوْنَ عَلَا فِى ٱلْأَرْضِ وَجَعَلَ أَهْلَهَا شِيَعًۭا يَسْتَضْعِفُ طَآئِفَةًۭ مِّنْهُمْ يُذَبِّحُ أَبْنَآءَهُمْ وَيَسْتَحْىِۦ نِسَآءَهُمْ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ مِنَ ٱلْمُفْسِدِينَ ٤
Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.
(Surah al-Qasas: 4)
Apakah yang telah dilakukan Firaun di bumi Mesir?
Ya, dia telah menjadikan penduduknya berpecah belah, membunuh dan menyembelih anak-anak lelaki dan membiarkan anak-anak perempuan hidup.
Memecah Belah Bani Israel
Firaun telah memecahkan populasi penduduknya kepada beberapa kumpulan; bukan hanya pecahan tempat tinggal, tetapi berpecah belah kerana saling berseteru dan paranoid antara satu sama lain. Rasa benci dan bersangka yang bukan-bukan.
Shiya’an (شيعا) bermaksud sebuah kumpulan, kelompok atau puak yang disatukan dengan cara fikir. Orang yang sebulat fikiran atau idea disebut sebagai syi’atin dalam al-Quran. Kita melihat dalam sejarah bani Israel, mereka ini dipecahkan ke dalam beberapa puak bagi memudahkan mereka ini diserang dan dilemahkan.
Apabila kita mempunyai kelompok yang sama idea, atau yang biasa kita fahami sebagai ‘ngam’, mereka ini boleh dipanggil sebagai syia’a. Sesuatu kelompok melihat diri mereka berbeza dengan kelompok yang lain. Akibat daripada perpecahan kelas masyarakat seperti ini, mereka saling membenci antara satu sama lain. Perpecahan ini juga menyebabkan mereka begitu lemah. Seperti lidi yang sebatang, mudah dipatahkan. Sebaliknya, jika lidi-lidi dihimpunkan membentuk penyapu, pasti sukar dipatahkan.
Untuk menjadikan Firaun sebagai diktator yang utuh, dia memastikan mereka berterusan saling membenci kerana hanya dengan cara itu sahaja mereka tidak akan bersatu untuk mencapai hak yang selayaknya sebagai seorang manusia. Kesannya, Firaun boleh berbuat apa sahaja. Ya, fenomena ini biasa terjadi dalam polisi politik masa kini. Ini merupakan cara penindas untuk terus stabil dan tidak terganggu.
Firaun akan memastikan salah satu kumpulan daripada pecahan kumpulan itu benar-benar dalam keadaan yang lemah. Apabila dalam keadaan lemah, mereka tidak mampu untuk mempertahankan hak, tidak punya kuasa dan kawalan bahkan terhadap diri mereka sendiri. Dengan itu, Firaun perlahan-lahan merampas hak asasi mereka. Satu per satu orang yang ditindas hanya akan berdiam diri dan rela menerimanya. Kekejaman ini berlangsung hingga ke tahap pembunuhan anak kecil. Hak sebagai manusia pun ditarik, inikan pula hak sebagai sebuah komuniti.
Membunuh Anak Lelaki
Penggunaan fiil mudhari’ (present tense) pada kata membawa fungsi pembunuhan yang berterusan. Firaun يذبِح membunuh anak-anak lelaki bukan hanya sekali secara rambang, tetapi pembunuhan demi pembunuhan dengan perancangan yang rapi dan tersusun. Perancangan ini merupakan rentetan daripada mimpi buruknya tentang kebangkitan bani Israel kelak.
Anak-anak ini akan membesar menjadi remaja, lalu menjadi anak muda yang kuat. Mereka ini akan melihat ayah dihina dan dipukul, ibu ditendang dan dilayan dengan hina, serta kakak yang diganggu secara seksual. Ini menyebabkan anak-anak muda ini akan berasa tidak senang. Mereka akan marah dan memberontak.
Apabila anak-anak muda bani Israel ini menjadi marah secara berkumpulan, maka revolusi boleh berlaku.
Jadi mereka tidak boleh membiarkan anak muda terlalu ramai untuk mengelakkan rantaian kemungkinan ini daripada berlaku. Hal ini cukup membahayakan bagi mereka. Jadi, mereka perlu mengawal jumlah anak muda yang boleh ada dalam komuniti. Kawalan kelahiran ala Firaun diperkenalkan.
Setiap beberapa tahun, apabila populasi anak dilihat semakin meningkat, mereka perlu mengeluarkan polisi khas; pada beberapa tahun sekali, setiap bayi lelaki yang dilahirkan akan diambil daripada keluarganya tanpa sebarang amaran. Setiap pintu akan diceroboh, setiap rumah akan digeledah, bayi lelaki akan dipisahkan daripada ibu dan ayah. Tiada sebarang proses tawar menawar. Tiada tangisan yang dipedulikan. Tiada simpati yang dihulurkan. Fokusnya, populasi perlu dijaga, komuniti perlu dilemahkan. Betapa lemahnya komuniti ini hingga mereka tidak mampu untuk bangkit menentang walaupun pada hakikatnya anak-anak mereka telah dibunuh secara beramai-ramai.
Sebaliknya, anak-anak perempuan dibiarkan hidup untuk memperbanyak jumlah hamba abdi. Mereka juga dijadikan hamba seks, pemuas nafsu golongan tentera yang melampaui batas. Populasi perlu dihadkan tetapi sejumlah hamba lelaki masih diperlukan sebagai buruh. Namun, jumlahnya tidaklah sampai kepada tahap yang boleh menggugat.
Allah SWT telah menyatakan Firaun sebagai orang yang melampaui batas (ٱلُْمْفِسِديَن). Al-mufsidin ialah kata nama, membawa fungsi sesuatu yang tetap. Misalnya, jika kita menyebutkan “dia mengajar” – dalam bentuk kata kerja, frasa ini mempunyai kaitan dengan masa. Boleh jadi dia mengajar pada waktu itu sahaja, bukan sebelum ini, bukan juga waktu yang lain. Namun, apabila kita menyebutkan “dia seorang guru” – dalam bentuk kata nama, frasa ini menunjukkan ketetapan pada tindakan orang tersebut. Pekerjaannya setiap hari ialah mengajar.
Begitu juga apabila Allah SWT menyebutkan Firaun sebagai mufsidin; menunjukkan Firaun orang yang benar-benar tetap dalam melakukan hal yang melampaui segala jenis batas. Dia telah berlaku zalim pada setiap tahapan; keluarga, pekerja, rakyat, termasuklah komuniti masyarakat yang telah dia susun untuk menjadi hamba di Mesir ketika itu – bani Israel.
Memperbodoh-bodohkan Bani Israel
(Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodoh- bodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu kaum yang fasik – derhaka. (Surah az-Zukhruf: 54)
Firaun melemahkan dan membodohkan bani Israel. Sejauh manakah bani Israel ini lemah? Sehingga mereka tidak mampu bangun dan bangkit melawan ketika bayi-bayi lelaki dibunuh kejam oleh tenteranya. Manusia jenis apakah yang hanya menangis dan tidak bangkit apabila anaknya diperlakukan sedemikian?
Apabila menyemak sejarah, ini bukanlah kali pertama kita membaca tentang penguasa yang memperhambakan sesuatu bangsa. Namun, selemah apa pun bangsa, sukar untuk kita bayangkan mereka boleh berdiam diri ketika anak diganggu. Pukul dan hentaklah dirinya seteruk apa pun, tetapi jika keluarga sudah mula diganggu, benar-benar menjadi garis merah untuk sesiapa pun.
Haiwan yang begitu lemah dan selalu menjadi mangsa, tiba- tiba menjadi berani dan bangkit melawan, bahkan sanggup mati demi keselamatan anaknya. Inikan pula seorang manusia yang Allah SWT sifatkan sebagai halu’a (bertindak balas). Kita sentiasa ada kecenderungan untuk memberikan reaksi yang kadangkala berlebihan atau melampau.
إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ خُلِقَ هَلُوعًا ١٩
Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut);-
(Surah Al-Maarij: 19)
Ibn ‘Asyur dalam tafsirnya At-Tahrir wa At-Tanwir, ketika membahaskan ayat ini menyebutkan bahawa manusia ini mempunyai kemampuan yang rendah untuk menahan diri ketika melalui keadaan yang berat seperti marah, sedih, resah, takut dan sebagainya. Beliau juga menyenaraikan beberapa simptom dalam hal ini seperti sifat kita yang tamak, baik bagi yang berstatus berada mahupun tidak mempunyai apa-apa bagi yang miskin.
Selain itu, kita mudah berasa tercabar dan sentiasa ingin mempertahankan segala kepunyaan kita. Ketika kecil, kita tidak mahu berkongsi alat permainan dan ingin mempertahankannya daripada diambil. Apabila mendewasa dan mendapat pencapaian tertinggi, kita tidak mahu pencapaian kita digugah dan digugat oleh sesiapa sahaja. Apabila mempunyai anak, kita tidak mahu dia diculik, dibuli atau didekati oleh segala hal yang membahayakan.
Apabila bani Israel tidak mampu lagi melawan, ini menunjukkan mereka benar-benar dalam kondisi yang sangat lemah. Bahkan kelemahan ini masih ketara walaupun setelah Musa A.S kembali ke Mesir sebagai rasul untuk menyelamatkan mereka daripada terus ditindas. Tidak mudah bagi Musa A.S mahu meyakinkan mereka untuk keluar dari Mesir dan berhijrah.
Setelah keluar dari Mesir, mereka tersekat di Laut Merah. Di hadapan ada Laut Merah, di belakang ada Firaun. Mereka terkepung dan tidak tahu harus ke mana. Allah SWT merakamkan respons mereka yang menunjukkan kekesalan kerana tidak memilih untuk terus menetap di Mesir. Mungkin terluah dalam
hati, “Ah patutnya aku tetap sahaja di Mesir. Mungkin aku hamba, tetapi sekurang-kurangnya aku tidak diserang sebegini.”
فَلَمَّا تَرَٰٓءَا ٱلْجَمْعَانِ قَالَ أَصْحَـٰبُ مُوسَىٰٓ إِنَّا لَمُدْرَكُونَ ٦١
Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: “Sesungguhnya kita akan dapat ditawan.”
(Surah al-Shu’ara: 61)
Apabila mereka dalam keadaan berat begini, mereka mengatakan, “Ah, habislah kita, kita benar-benar pasti sudah tertawan dan akan tewas.” Ketakutan dan kebimbangan masih jelas walaupun Nabi Musa A.S di sisi. Malah, mereka sendiri telah melihat pelbagai jenis mukjizat yang Allah SWT kurniakan kepada Musa A.S semasa menyerang Firaun dan tenteranya seperti taufan, belalang, sungai berdarah dan sebagainya.
Sebaik mereka melepasi laut yang dibelah, ada satu ketika dalam perjalanan itu mereka menetap di padang pasir untuk satu tempoh. Dalam tempoh itu, mereka dikurniakan oleh Allah SWT manna dan salwa. Namun, mereka tidak mampu bertahan lama, malah mereka memohon makanan-makanan lama yang terbiasa mereka makan selama ini. Mereka ibarat seorang banduan yang sudah dibebaskan, tetapi masih merindukan masakan penjara. Mereka bukan hanya merindukan makanan penjara, tetapi penjara itu sendiri.
Jadi, apa sebenarnya yang dilakukan Firaun kepada mereka? Demikianlah begitu besar kesannya. Setelah merdeka daripada Firaun sekalipun, bisanya masih kelihatan, inikan pula semasa masih dalam perhambaan.
Dalam al-Quran, Allah SWT merangkumkan perkara ini pada satu bahagian, dalam surah Az-Zukhruf – فالستخف قومه فأطاعوه (Firaun memperbodoh-bodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya). Apabila bani Israel menjadi kaum yang lemah, maka mereka akan mematuhinya dan tidak melawan. Kalimah ini agak penting untuk diteliti bagi memahami perbuatan Firaun.
Istakhaffa ( استخف ) yang boleh diterjemahkan sebagai melemahkan atau memperbodoh-bodohkan. Akar kata ini ialah khiffah yang bermaksud keringanan dan keselesaan. Daripadanya kita mendapat perkataan khuf yang bermaksud bahagian tapak kaki atau bahagian bawah kasut. Asasnya, khuf ini memberikan keselesaan kepada diri untuk memijak. Apabila kita memijak sesuatu yang menyebabkan ketidakselesaan seperti batuan, kerikil dan tanah, kewujudan khuf – bahagian tapak kasut ini membuatkan kita selesa.
Orang yang khafif pula ialah orang yang senang dipijak. Untuk keringanan dan keselesaan satu kelompok, dia akan memijak satu kelompok lain dan memanipulasi mereka. Misalnya seorang pembuli yang mungkin mempunyai masalah kewangan, akan membuli dan memijak orang lain untuk mendapatkan duit dengan mudah. Dia memijak orang lain agar dia selesa.
Menurut Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab, terdapat empat dimensi yang boleh difahami daripada kalimah ini. Dimensi ini bukan hanya untuk memahami perbuatan Firaun, tetapi kita boleh bermuhasabah tentang tingkah laku diri sendiri.
1. Membuat mereka berasa lemah
Firaun kerap membuat kaumnya daripada pelbagai jenis bangsa berasa lemah dari sudut cara fikir. Kita sudah melihat bahawa Firaun secara fizikal tidaklah begitu kuat. Usianya yang semakin tua sebenarnya menyebabkan tubuhnya juga melemah. Namun, dia masih berupaya membuatkan orang lain merasakan dia kuat dan mereka lemah. Persepsi yang tetap ini telah berjaya ditanam dalam fikiran mereka.
Membuat orang berasa lemah dari sudut ini muncul dengan banyak jalan. Antaranya dengan mengingatkan mereka bahawa mereka tiada apa-apa dan Firaun ada segalanya.
Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: “Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini – akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana)ku? Tidakkah kamu melihatnya?
(Surah az-Zukhruf: 51)
Dari sudut kekayaan, kekuasaan, kekuatan, semuanya dimiliki Firaun. Tiada hari yang dirasakan bahawa dia memerlukan sesuatu, tetapi orang lainlah yang berasa sedemikian.
“Saya lebih layak berbanding kamu. Kamu ada apa?” ujaran seperti ini biasa dilontarkan oleh seseorang untuk membuatkan orang lain terdiam dan berasa hina. Apabila diulang berkali-kali, pendengar akhirnya akur dan mengakui bahawa dia tidak punya apa-apa. “Saya tiada apa-apa.”
Selain itu, mereka sengaja dilemahkan dengan diperingatkan tentang kesalahan mereka berkali- kali. Apabila Musa A.S ingin menegur Firaun bahawa dia telah melampaui batas, antara perkara yang dilakukan Firaun ialah mengingatkan semula bahawa dialah yang telah membesarkan Musa A.S, memberikannya pendidikan seterusnya mengimbau semula kesalahan Musa A.S sepuluh tahun yang lalu. Kita mengetahui punca Musa A.S melarikan diri hingga ke Madyan dalam keadaan tidak punya apa- apa adalah kerana Musa A.S telah membunuh salah seorang pegawai besar Firaun secara tidak sengaja lalu diburu untuk dibunuh.
Musa A.S sekalipun dilihat pada zahir mata seorang yang begitu tegap dan kuat, tetapi baginda mengenali gerangan bapa angkatnya itu. Baginda membesar dengan Firaun dan melihat sendiri kekuatan lelaki ini. Baginda mengakui bahawa dia takut lalu melarikan diri.
قَالَ رَبِّ إِنِّى قَتَلْتُ مِنْهُمْ نَفْسًۭا فَأَخَافُ أَن يَقْتُلُونِ ٣٣
Nabi Musa merayu dengan berkata: “Wahai Tuhanku, bahawa aku telah membunuh seorang dari kalangan mereka; oleh itu aku takut mereka akan membunuhku.”
(Surah al-Qasas: 33)
Sekembalinya Musa A.S ke Mesir sebagai seorang rasul, baginda meminta Firaun melepaskan hambanya dan menghentikan segala penindasan yang telah dilakukan. Lantaran itu, Firaun pun mengingatkan kesalahannya. Ini merupakan antara cara untuk seseorang memenangkan hujah dan menghalang orang lain berkuasa ke atasnya.
Firaun menjawab: “Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau kanak-kanak yang baharu lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu?”
“Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (jenayah) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dari orang-orang yang tidak mengenang budi?”
(Surah al-Syu’ara’: 18-19)
Ketika seseorang bangkit menyatakan hak dan menegur, dia mempersoalkan apakah kau lupa kesalahan kau dulu pada aku? Kau lupa bahawa kau juga pernah melakukan kesalahan itu dan ini. Ini menyebabkan seseorang berasa lemah dan dia tidak sepatutnya meneruskan lagi kata-katanya. Dia akan terdiam dan berasa malu.
2. Membuat mereka berasa tiada harga
Firaun membuat mereka berasa tiada harga. Tiada apa yang boleh mereka banggakan dan kedepankan. Tidak mencapai apa-apa yang bermakna, tidak melakukan hal-hal penting dan hebat, tiada tujuan dalam hidup dan sentiasa dalam keadaan yang gagal.
Menyusuri beberapa budaya, ada satu budaya yang kerap berlaku pada kelompok tertentu. Situasi ini biasa ditonjolkan dalam filem-filem dari India dan Pakistan, iaitu budaya merendahkan orang perempuan yang sudah semakin berusia tetapi belum berkahwin. Si bapa akan menyebut bahawa anak- anak perempuan ini hanyalah mulut-mulut yang masih perlu diberi makan kerana belum berkahwin. Mereka dianggap beban.
Budaya ini membuatkan seseorang berasa tiada harga. Dia merasakan dirinya suatu beban untuk orang lain. Sedangkan, al-Quran sentiasa mengetengahkan agar kita menjadi benteng terbaik yang melindungi keluarga dan menghargai mereka.
Sebagaimana yang dilakukan oleh Firaun, isu syukur ditunggang sebagai justifikasi ke atas penindasan demi penindasan yang dilakukan. “Kamu sepatutnya bersyukur kerana aku telah memberi kamu makan dan pekerjaan.”
Akhirnya seseorang mengenali dirinya dengan pandangan sebegitu.
“Memanglah dia kejam, tetapi dia selalu berikan aku macam-macam benda. Dia masih beri aku makan. Kalau tiada dia, di mana lagi tempat untuk aku berpaut?”
“Mungkin cuma ini sahaja yang layak untuk aku.”
Kadangkala dengan hanya melalui kata-kata, kita boleh membuat seseorang berasa dirinya tiada harga.
“Oh, kamu kerja itu ya?” Pertanyaan dengan nada menghina kepada pekerjaan yang dilihat tidak hebat.
“Oh, dah kahwin tapi belum ada anak?”
Kita sangka kata-kata itu sekadar tujuan berbasa- basi, pemula kepada perbualan selanjutnya. Namun, bagi seseorang yang sedang menanti kehadiran anak, pertanyaan sebegitu cukup terhiris. Seakan- akan merendahkan dan membuatkan seseorang berasa lemah. Hal ini menyebabkan seseorang berasa dia seorang isteri yang mengecewakan, atau seorang anak yang mengecewakan keluarga. Begitu beratnya perasaan yang dilalui lantaran kata-kata begini; menyakitkan dan menyedihkan. Berhentilah merendahkan orang dan belajarlah mendoakan kebaikan. Kita tidak pernah tahu ujian yang dilalui seseorang.
3. Membuat mereka berasa bodoh
Firaun membuatkan mereka merasakan diri mereka bodoh. “Kita tidak tahu soal arkitek, tidak tahu perancangan, stok, bahan dan sebagainya. Kita cuma hamba dan buruh. Kita cuma buat apa yang disuruh. Mereka itu orang-orang pandai. Mereka tahu selok belok negara, pemerintahan, pembinaan dan segalanya.”
Mereka selalu dikritik dan ditegur. Selalu digelar sebagai orang yang tidak mengetahui. Akhirnya, kritikan itu mula mendefinisikan diri mereka. Mereka mula merasakan itulah hakikatnya.
Apabila seseorang sudah merasakan dirinya bodoh, sukar untuk dia berdiri mempertahankan diri. Dia akan sentiasa merasakan dirinya melakukan hal-hal yang bodoh dan salah. Mereka tidak ingin mempersoalkan atau bersuara, kerana menganggap cadangan atau pandangan mereka hanyalah hal-hal yang remeh dan bodoh. Tidak wajar untuk didengari apatah lagi dikedepankan. Bicaranya terus terkunci. Fikiran sendiri diperkecil. Tiada lagi keyakinan dan kekuatan. Segala idea yang muncul, sudah dimatikan oleh perasaan begini.
Lama-kelamaan, perbuatan melampaui batas yang dilakukan oleh Firaun tidak lagi dilawan. Hanya kerana menganggap mereka itu golongan bijak pandai yang menguruskan negara. Mereka lebih tahu. Siapalah kita untuk mempersoalkan.
4. Membuat Mereka Berasa Gelisah
Firaun memanipulasi mereka dan menyebabkan emosi mereka tidak stabil. Sekejap dihentak, sekejap ditenangkan. Kita mungkin pernah bertemu dengan pendera atau pembuli yang pada satu waktu begitu menakutkan, pada waktu lain begitu baik dan penyayang.
Hal ini sangat mengelirukan, kerana menyebabkan seseorang tidak lagi stabil dan tidak mampu berfikir dengan baik. Apabila membaca kes-kes penderaan, mudah sekali kita ditemukan dengan simptom ini. Ada ketika, dia mengucapkan ‘saya sayangkan awak’, tetapi di waktu yang lain, dia mendera pasangannya. Empat dimensi pada lafaz istikhfaf ini cukup mendalam. Lafaz ini bukan sahaja menjadi jalan untuk kita memahami kelakuan dan tindakan Firaun. Bahkan juga untuk kita merenungi diri sendiri dan orang sekeliling. Ramai orang boleh menunggang kata syukur, sayang atau apa sahaja namun sebenarnya, tindakan itu rupanya melemahkan dan merendahkan seseorang. Sama ada pelakunya sedar atau pun tidak sedar, menjadi sesuatu yang wajar untuk difikirkan secara serius.
Pada penutup ayat tersebut, Allah SWT menyebutkan;
“Mereka itu ialah kaum yang fasik.”
(Surah az-Zukhruf: 54)
Orang-orang yang dilemahkan dan dibodohkan ini, lalu mengikuti Firaun, ialah orang-orang yang fasik. Apakah maksudnya? Fasik dari sudut bahasa menurut Muhammad Hasan Jabal dalam al-Mu’jam al-Isytiqaqi bermaksud terkeluar dari tempat asalnya. Orang Arab menggunakannya untuk menggambarkan buah kurma yang terkeluar daripada kulitnya dan mulai rosak. Dalam istilah yang biasa kita fahami, orang fasik ialah orang yang keluar dari jalan kebenaran, iaitu tempat asas dan fitrah bagi kita semua.
Maka, ayat ini menjelaskan bahawa mereka telah menjadi orang fasik apabila mereka dilemahkan dan diperbodohkan, hingga terkeluar daripada keadaan asas seorang manusia; yang naluri asalnya akan selalu mempertahankan dan menghormati diri sendiri. Namun, mereka berasa diri tidak lagi berharga dan tidak mempunyai sebarang nilai.
Begitu besar kesan tindakan Firaun ini kepada kaumnya. Lantaran ketakutannya untuk jatuh dan hilang kuasa, dia melakukan hal-hal yang melampaui batas. Merendahkan manusia agar secara automatik mereka sendiri tidak lagi bangkit melawan.
Ketakutan itu sebahagian daripada perasaan kita. Sama ada orang itu ditindas ataupun menindas, kita semua punya perasaan itu. Namun, manifestasi dan cara kita menguruskannya, menjadi perbezaan yang cukup besar. Ini hal yang wajar diperhatikan oleh kita semua, mudah-mudahan ketakutan kita membawa kepada hal yang baik dan tidak memudaratkan orang lain.
Ketakutan ini akhirnya menyedarkan bahawa kita tidak punya apa-apa. Segala yang menjadi milik kita akan berakhir. Kita harus belajar menerima dan melepaskan. Firaun juga tahu bahawa kekuasaan itu boleh dijatuhkan. Kekayaan itu boleh habis dirampas. Orang ditindas boleh bangkit. Namun, manifestasinya silap. Dia jahil tentang hakikat diri yang tidak punya apa-apa, tetapi hakikat itu tidak direnungi malah berkelakuan sombong.
Akhirnya, kitalah yang harus memilih, manifestasi jenis apakah yang kita akan lakukan. Bagi setiap pilihan, pasti ada harga yang harus dibayar.
melalui pembacaan artikel ini, tanpa kita sedar ada sedikit ciri -ciri firaun dalam diri kita..nauzubillah..terima kasih ats penulisan ini..semoga kita semua sentiasa dalam lindungan Allah..
Barakallahfik utk tulisan ini 👍🏻
– Rupanya rasa takut itu valid, tinggal lagi kita nak response dengan cara Fir’aun atau cara Musa?
– Dapat self check adakah diri sendiri ada sikap Fir’aun itu, dan adakah kita sedang dimanipulasi orang² seperti Fir’aun tanpa sedar? Bukan utk marah orangnya, tapi utk tidak terus membiarkan diri & org sekitar dalam kezaliman bawah sedar.