Ketika kita semakin keliru

Refleksi Nama Allah – Al-Hadi & Al-Rasyid, oleh Imran Zaki

Suatu pagi kita bangun dengan perasaan yang sukar untuk difahami dan dimengertikan. Rasanya terlalu kosong, didakap dengan kesunyian dan kesendirian, seperti dicucuk tajam. Kita melihat keluar jendela, perlahan-lahan matahari sedang berdiri menunjukkan wajahnya. Entah beberapa minggu atau mungkin berbulan, kita hidup dengan penuh ketidakpastian. Tidak tahu lagi harus apa dan bagaimana. Perjalanan hidup ini kadangkala menjadikan kita semakin berbeza. Diam-diam menukar doa dan impian. Ada sekumpulan perasaan kecewa kepada diri sendiri lantaran ketakutan dan kesilapan yang telah berlalu.

Kita akan selalu menemui perasaan yang baru. Pengalaman akan membawa kita mengenal rasa-rasa yang kita belum pernah temui. Walaupun pada akhirnya, kita cuma membahasakannya sebagai perasaan yang sama – sedih, takut, marah, kecewa, gembira, tetapi kita pun mengerti bahawa perasaan kita bertumbuh dalam tingkatan dan makna yang berbeza.

Namanya sama, realitinya berbeza. Ungkapannya sama, tetapi tidak kedalamannya.

Sedih ketika kita gagal peperiksaan di zaman sekolah, sudah berbeza rasanya ketika kita menjadi satu-satu harapan keluarga ketika di universiti.

Sedih ketika ditinggalkan oleh seseorang yang kita berpaut, berbeza ketika diri kita dikhianati dan cerita dijaja dalam naratif yang pelbagai.

Sedih itu mungkin sedang menyatu dengan marah yang mendalam, juga ketakutan.

Perasaan kita ada lapisan yang sangat kompleks. Ia tidak bersendiri. Dalam satu emosi, ia menyangkut emosi yang lain. Dalam rangkuman emosi yang sedang kita bergelut, ia membawa beban masa lalu, bagaimana kita dibesarkan dan dilayan, ekspetasi masa depan, harapan dan impian, semuanya akan memberikan kesan dan rasa yang berbeza.

Begitulah kadang-kadang cara Tuhan menunjukkan kita jalan yang baru, melalui perkenalan kita dengan emosi yang berlapis.

Salah satu nama Tuhan yang indah ialah Al-Hadi dan Ar-Rashid – yang maha menunjukkan hidayah dan jalan.

Jika ditekuni makna akar Al-Hadi, ia membawa kita kepada huruf ha-dal-ya yang bermaksud mendekati kepada sesuatu, dalam dua sisi makna; pertama menunjukkan jalan dan kedua kelembutan, kehalusan dan santun.

Maknanya, Tuhan membawa kita mendekati-Nya dengan menunjukkan kita jalan, dengan sangat halus dan santun. Salah satunya lewat pengalaman yang memberikan perasaan yang pelbagai. Daripada kalimah ini juga kita menemui kata hadiyyah – hadiah. Sifat hadiah itu tanda kedekatan perasaan pemberi, dan menjemput penerima untuk lebih dekat dengan penerima. Ia tidak dipaksa, dan digesa. Petunjuk dan hadiah itu mempunyai perkaitan yang sangat akrab. Bagi orang yang tidak tahu harus ke mana, petunjuk yang benar merupakan hadiah yang terindah dan menyenangkan perasaan.

Nabi kita, dalam sebuah peristiwa yang sangat berat – kejadian Ta’if, yang menunjukkan kepada kita bahawa doa agar ditunjukkan jalan tidak hanya ketika kita optimis dengan kemahuan. Tidak hanya ketika kita tahu apa yang ingin dicapai. Bahkan doa ialah luahan ketika kita tidak lagi tahu harus ke mana.

Ketika di tahun dukacita – ‘am al-Huzn, cukup signifikan pengistilahan ini menunjukkan betapa beratnya emosi yang ditanggung setelah kehilangan Abi Talib dan isterinya, Khadijah, tentangan menjadi semakin kuat. Hingga akhirnya Nabi keluar dan mendaki bukit Ta’if yang sangat tinggi, membawa harapan moga ada insan-insan yang sudi menerima dan memberikan perlindungan.

Kehadirannya tidak hanya disambut kata-kata tajam dan menghinakan, tetapi lontaran batu yang melukakan. Ketika itu, doanya berbalut pengakuan ketidaktahuan tentang apa lagi yang harus dilakukan, dan ke mana lagi harus dituju.

Ketika kita membaca bahagian kecil luahan ini, kita juga mengerti hari itu bukan hari yang mudah buat Nabi SAW.

Kerana itu emosi ini, harus difahami dengan lapis-lapis yang dalam.

اللَّهُمَّ إِلَيْكَ أَشْكُو ضَعْفَ قُوَّتِي، وَقِلَّةَ حِيلَتِي، وَهَوَانِي عَلَى النَّاسِ، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ، أَنْتَ رَبُّ الْمُسْتَضْعَفِينَ، وَأَنْتَ رَبِّي

إِلَى مَنْ تَكِلُنِي؟ إِلَى بَعِيدٍ يَتَجَهَّمُنِي؟ أَمْ إِلَى عَدُوٍّ مَلَّكْتَهُ أَمْرِي؟

إِنْ لَمْ يَكُنْ بِكَ عَلَيَّ غَضَبٌ فَلَا أُبَالِي، وَلَكِنَّ عَافِيَتَكَ هِيَ أَوْسَعُ لِي

أَعُوذُ بِنُورِ وَجْهِكَ الَّذِي أَشْرَقَتْ لَهُ الظُّلُمَاتُ، وَصَلُحَ عَلَيْهِ أَمْرُ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، مِنْ أَنْ تُنْزِلَ بِي غَضَبَكَ، أَوْ يَحِلَّ عَلَيَّ سَخَطُكَ

لَكَ الْعُتْبَى حَتَّى تَرْضَى، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِكَ

“Ya Allah, kepada-Mu aku mengadukan lemahnya kekuatanku, sedikitnya upayaku, dan hinanya diriku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih daripada segala yang mengasihi. Engkaulah Tuhan orang-orang yang lemah, dan Engkaulah Tuhanku.

Kepada siapakah Engkau menyerahkan aku? Kepada orang jauh yang menyambutku dengan wajah yang keras? Atau kepada musuh yang Engkau berikan kepadanya kekuasaan atas urusanku?

Sekiranya Engkau tidak murka kepadaku, maka aku tidak peduli. Namun, kesejahteraan daripada-Mu adalah lebih luas bagiku.

Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang dengannya segala kegelapan menjadi terang, dan dengannya urusan dunia dan akhirat menjadi baik, daripada kemurkaan-Mu diturunkan ke atasku, atau kemarahan-Mu menimpaku.

Bagi-Mu segala kerelaanku sehingga Engkau reda. Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan-Mu.”

(At-Tabarani)

Kita juga menemui kata-kata Musa AS memohon ditunjukkan jalan ketika telah melakukan kesilapan, terbunuh seorang lelaki walaupun niat awalnya untuk membantu seseorang.

وَلَمَّا تَوَجَّهَ تِلْقَآءَ مَدْيَنَ قَالَ عَسَىٰ رَبِّىٓ أَن يَهْدِيَنِى سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ

Dan setelah ia (meninggalkan Mesir dalam perjalanan) menuju ke negeri Madyan, berdoalah ia dengan berkata: “Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku,”.

[Al-Qasas: 22]

Hanya petunjuk daripada Tuhan yang boleh mengangkat semua rasa serba salah dan kebuntuan untuk membetulkan keadaan.

Al-Rashid juga membawa maksud Yang Maha Pemberi Petunjuk, namun kalimah ini ada penekanan tersendiri. Kalimah Rasyadah digunakan dalam bahasa arab merujuk kepada batu yang membawa unsur berat dan teguh, bersamaan dengan fungsi akal, sebagai sesuatu yang berprinsip, mampu membezakan yang benar dan salah.

Kita belajar untuk memohon kepada Tuhan yang memiliki sifat Al-Hadi dan Ar-Rashid agar dipertemukan jalan dan tujuan. Hidayah itu sebuah kecenderungan hati, rushd itu jejak-jejak langkah yang terlihat.

Setelah hidayah, petunjuk kepada jalan, disempurnakan pula dengan rushd, kemampuan untuk mengetahui mana satu yang benar dan salah.

Doa yang dibacakan oleh pemuda al-Kahfi;

إِذْ أَوَى ٱلْفِتْيَةُ إِلَى ٱلْكَهْفِ فَقَالُوا۟ رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةًۭ وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًۭا

(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”.

[Al-Kahfi: 10]

Ketika mereka harus membuat keputusan yang besar, bergerak meninggalkan kota walaupun sebahagian daripada mereka ialah anak-anak muda yang mempunyai kekuatan daripada sudut material, mereka perlukan jejak langkah yang harus dituju.

Sangka mereka, gua ialah persinggahan untuk ruang keselamatan sementara, tanpa mengetahui Tuhan ada cara untuk memimpin jalan itu, lewat tidur yang panjang. Beratus tahun lamanya. Konflik terangkat, keresahan pun didiamkan. Terjaga di zaman yang berbeza, setelah ditidurkan. Begitulah Tuhan menggerakkan, kita tidak mengerti, tetapi badai akan berlalu.

Begitulah indahnya cerita ini disusun dalam surah al-Kahf – gua, sebuah perlidungan, kasih sayang Tuhan melindungi manusia yang memilih untuk cenderung kepada kebenaran. Bahkan kandungan isi surah ini mampat dengan tema kekeliruan dan kebenaran, di balik banyak tabir; aqidah – cara berfikir [cerita pemuda], kehidupan material [pemilik dua kebun], kepimpinan [Zulqarnain], selok belok informasi dan keilmuan[Khidr dan Musa].

Ada sebuah doa yang sangat penting untuk dibaca, diajarkan oleh para salaf, khususnya ketika kita sedang keliru dan dikelirukan;

اللهم أرنا الحق حقاً وارزقنا اتباعه وأرنا الباطل باطلاً وارزقنا اجتنابه

“Ya Allah tunjukkanlah kepada kami yang benar itu benar dan bantulah kami untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kepada kami yang batil itu batil dan bantulah kami untuk menjauhinya.

Dalam doa yang lain, Ibn Jauzi menuliskan permintaan agar ditunjukkan realiti sesuatu, lantaran dalam banyak keadaan kita tidak melihat sesuatu dengan naratif yang benar. Mungkin bias menutup keadilan dalam melihat kebenaran. Boleh jadi kerana terlalu beremosi, telah menutupi timbang rasa dan kewajaran.

اللهم أرنا الأشياء كما هي

Ya Tuhan, tunjukkanlah kepada kami hakikat segala sesuatu seperti adanya!

Cabaran zaman menjadikan kita semakin sukar untuk menentukan mana satu yang benar dan salah, juga disebabkan pertembungan emosi dan fikiran dalam diri sendiri. Ledakan media yang menyebabkan kita terlalu tahu segala hal, hingga akhirnya kita lost, semua ini untuk apa? Krisis ini bukan kerana kekurangan pengetahuan, tetapi kekeliruan, tidak tahu mana satu hujung dan pangkal.

Perdebatan yang panjang hingga melarikan kita daripada memahami sesuatu yang penting.

Boleh jadi juga kerana faktor psikologi; corak berfikir yang tersilap – cognitive distortion. Siri pola (pattern) yang kita ulang daripada kecil hingga menyukarkan kita melihat realiti sesuatu.

Seperti menjadi terlalu hitam dan putih di setiap perkara, tiada langsung ruang kelabu – terbuka kepada perbincangan. Meletakkan kata ‘sepatutnya’ dalam pencapaian hingga menutupi ruang kebarangkalian untuk berbeza. Selain itu, menjadi overgeneralization, terus menjangkakan kesimpulan penuh pada satu hal yang berlaku.

Kegagalan kita untuk mendengarkan semua yang terpendam ini, akhirnya membuatkan kita terperangkap dengan kitaran masalah yang sama, terpicu dengan hal yang sama dan menjemput derita yang lama.

Kita mahu mencapai kematangan emosi dan fikiran, agar segala yang sesak boleh dialirkan dengan baik.

Kita akan selalu teruji, dan itulah hal yang memang kita perlu lalui. Kita akan sentiasa hidup dengan episod ketidakpastian. Selepas satu selesai, nanti datang lagi konflik yang berbeza pada cerita yang berbeza.

Namun setidak-tidaknya, dalam banyak hal yang tidak mampu dikawal, kita masih boleh memahami diri sendiri dan menguruskannya.

Begitulah yang kita pinta setiap hari di dalam ruang solat, melalui surah Al-Fatihah, surah yang membuka dan mencerahkan tentang hakikat kehidupan.

ٱهْدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ ٦

Tunjukilah kami jalan yang lurus.

[Al-Fatihah: 6]

Kita meminta bimbingan dan petunjuk agar tetap di atas jalan yang lurus. Al-Mustaqim tidak hanya tentang sebuah jalan, ia tentang bagaimana kita berdiri teguh berdepan kesukaran. Ia berakar daripada [قام] yang bermaksud berdiri.

Kita akan menemukan entah segala jenis perasaan. Merasa lemah dan kalah, sedih dan hancur. Tetapi kita akan selalu dibimbing oleh Allah yang bernama al-Hadi dan ar-Rashid, untuk terus bangun dan berdepan, tidak lagi berlari, dan menjadi jujur dengan diri sendiri.

Share on social media

Related Blogs

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *