Perbezaan kalimah saqim dan maridh (sakit)

Saya ada terima soalan baru ni berkaitan makna saqim (Ψ³Ω‚ΩŠΩ…) yang diterjemahkan sebagai sakit dalam cerita Nabi Yunus.

Tentang perbezaan antara kalimah saqim (Ψ³Ω‚ΩŠΩ…) dan maridh (Ω…Ψ±ΩŠΨΆ), yang mana kedua-duanya diterjemahkan sebagai sakit. Kerana memahami kalimah ini akan membantu tadabbur yang lebih dalam.

Saya menjawab soalan dengan merujuk kamus penting dalam pengistilahan al-Quran, tulisan Sheikh Muhammad Hasan Jabal, berjudul Ψ§Ω„Ω…ΨΉΨ¬Ω… Ψ§Ω„Ψ§Ψ΄ΨͺΩ‚Ψ§Ω‚ΩŠ, dan juga sokongan daripada karya Imam Ar-Raghib Al-Isfahani.

1.⁠ ⁠Maridh (Ω…Ψ±ΩŠΨΆ)

ΩƒΨ«Ψ§ΩΨ©ΩŒ Ψ«Ω‚ΩŠΩ„Ψ© ΨͺΩŽΨΊΩ’Ψ΄ΩŽΩ‰ Ψ§Ω„Ψ΄ΩŠΨ‘ΩŽ فΨͺُثْقِله وΨͺحجُبُ Ψ­ΩΨ―Ω‘ΩŽΨͺΩ‡. كالسُحُب ΩˆΩ†Ψ­ΩˆΩ‡Ψ§ Ω„Ω„Ψ΄Ω…Ψ³ ΩˆΨ§Ω„ΩƒΩˆΨ§ΩƒΨ¨ΨŒ ΩˆΩƒΨ§Ω„ΨΈΩ„Ψ§Ω… Ψ§Ω„ΩƒΨ«ΩŠΩΨŒ ΩˆΩƒΨ§Ω„Ψ£Ψ±ΨΆ Ψ§Ω„Ω…Ψ«Ω‚Ω„Ψ© بكثافة Ψ§Ω„Ψ¬Ω†ΩˆΨ― ΩˆΨ§Ω„Ω‚ΩˆΩ…Ω ΨΉΩ„ΩŠΩ‡Ψ§ أي ΩƒΨ«Ψ±ΨͺΩ‡Ω….

Makna pasak bagi kalimah ini ialah; suatu ketebalan berat yang menyelubungi sesuatu lalu memberatkannya dan menutup ketajamannya. Seperti awan dan seumpamanya terhadap matahari dan bintang-bintang, seperti kegelapan yang tebal, dan seperti bumi yang diberatkan oleh ketebalan para tentera dan kaum di atasnya, iaitu banyaknya mereka.

Dipanggil β€œmata yang Ω…Ψ±ΩŠΨΆΨ©ΩŒβ€: lemah pandangannya, tidak tajam, seakan-akan di atasnya ada selaput.

Daripadanya juga: Ψ§Ω„Ω…Ψ±ΨΆ في Ψ§Ω„Ψ£Ψ¨Ψ―Ψ§Ω†: فΨͺور Ψ§Ω„Ψ£ΨΉΨΆΨ§Ψ‘ β€œpenyakit pada tubuh badan: lemahnya anggota-anggota.” Iaitu hilangnya kekuatan dan ketajamannya, seakan-akan ada beban yang mendekam di atasnya, sebagaimana dikatakan: β€œlelaki itu menjadi berat”: sakitnya menjadi parah, iaitu penyakit telah memberatkannya.

Sebab itu kalimah maridh juga tidak hanya merujuk pada sakit fizikal, tetapi juga penyakit hati. Allah menyebut ‘di dalam hati mereka ada maradh – sakit’. Maksudnya ada kelemahan dalam melihat dan menyingkapi kebenaran. Dosa menyelubunginya lalu memberatkan.

1.⁠ ⁠Saqim (Ψ³Ω‚ΩŠΩ…)

Ψ§Ω„Ω…ΨΉΩ†Ω‰ Ψ§Ω„Ω…Ψ­ΩˆΨ±ΩŠ جفاف جِرْم Ψ§Ω„Ψ΄ΩŠΨ‘ ΨΉΩ„Ω‰ غير Ψ§Ω„Ω…ΨΉΨͺΨ§Ψ― Ω„ΩˆΨ¬ΩˆΨ― ΨΊΩ„ΩŠΨΈ أو Ψ­Ψ§Ψ―Ω‘ في Ψ¨Ψ§Ψ·Ω†Ω‡

Makna paksi: keringnya jasad sesuatu secara tidak biasa kerana adanya sesuatu yang tebal atau tajam di dalamnya.

Kata beliau, seperti keringnya tubuh orang yang sakit; maka panjangnya penyakit adalah daripada suatu penyakit yang kuat lagi sukar, iaitu yang tidak hilang dengan cepat, yang menetap dalam tubuh dan mengeringkannya, menghilangkan lemak dan dagingnya.

Orang awam kadang-kadang menyebut orang yang kurus atau bertubuh kurus sebagai saqim.

Kata al-Raghib: β€œTempat yang saqim” bermaksud padanya terdapat ketakutan. Tempat yang meresahkan, menghilangkan ketenangan dan kerehatan.

Rangkuman

Sakit yang diistilahkan dengan maridh merujuk pada benda yang memberatkan, dan melemahkan. Dan sakit memang umumnya begitu.

Sakit yang diistilahkan sebagai saqim merujuk pada sakit yang berat, menghilangkan lemak, kurus, tidak hilang dengan cepat. Ada ketajaman di dalamnya. Jadi apa yang Nabi Yunus lalui bukan hanya sakit yang melemahkan setelah keluar dari ikan, tetapi sakit yang berat dan tidak hilang dengan cepat.

Waallahu’alam.

Untuk memahami dengan lebih mendalam, boleh dapat rakaman kelas kisah Nabi Yunus ya.

Share on social media

Related Blogs

One Response

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *